WeAcademia

Usaha Ke Arah Kemerdekaan

7.5 - Penubuhan Parti Politik

Kemunculan Parti Politik Selepas Perang Dunia Kedua

  • Perkembangan nasionalisme membangkitkan semangat membebaskan diri daripada penjajahan serta mewujudkan negara merdeka dan berdaulat.
  • Kepelbagaian parti politik mewujudkan kerjasama antara parti dan mengukuhkan tuntutan kemerdekaan tanah air.

Parti Politik Tahun 1940-an

  • Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Oktober 1945: Dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Melahirkan kesedaran politik orang Melayu, menekankan perpaduan penduduk berbilang kaum serta mencapai kemerdekaan dan memperjuangkan Melayu Raya.
  • Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), 1946: Dipimpin oleh Abang Haji Zaini, Abang Haji Openg dan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Memupuk kesetiaan dan perpaduan kaum di Sarawak serta menentang penyerahan Sarawak kepada British. PKMS ialah penjenamaan semula Persatuan Melayu Sarawak yang diharamkan semasa pendudukan Jepun.
  • Angkatan Pemuda Insaf (API), Februari 1946: Dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Menggembleng tenaga pemuda sebagai penggerak perubahan politik dan menggunakan slogan “Merdeka dengan Darah” untuk memperjuangkan kemerdekaan.
  • Pergerakan Pemuda Melayu (PPM), Mac 1946: Dipimpin oleh Mohamad Sirat Yaman, Awang Rambli, Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek. Menentang penjajahan British dan menuntut kemerdekaan Sarawak.
  • United Malays National Organisation (UMNO), Mei 1946: Dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Menentang Malayan Union dan bekerjasama dengan kaum lain untuk mencapai kemerdekaan.
  • Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PKML), Jun 1946: Dipimpin oleh Tengku Noordin, Zakaria Gunn dan Imam Suhaili Yaakub. Meningkatkan kemajuan sosioekonomi serta menuntut Sabah dimerdekakan daripada pentadbiran British.
  • Malayan Indian Congress (MIC), Ogos 1946: Dipimpin oleh John Thivy dan K.L. Devasar. Menjaga kepentingan orang India di Tanah Melayu dan memperjuangkan kemajuan politik bersama-sama kaum lain.
  • Barisan Pemuda (BARIP), Disember 1946: Ditubuhkan di Jesselton dan Labuan serta dipimpin oleh Mandur Syarif dan Pengiran Ahmad. Menyatukan anak negeri dan bekerjasama untuk memperbaik keadaan ekonomi dan politik bumiputera ke arah berkerajaan sendiri.
  • Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Jun 1947: Dipimpin oleh Abang Mohd. Kassim Taha dan Ahmad Zaidi Adruce. Memperjuangkan kepentingan penduduk, menuntut keadilan daripada pentadbiran British dan menentang penyerahan Sarawak kepada British.
  • Malayan Chinese Association (MCA), Februari 1949: Dipimpin oleh Tan Cheng Lock, Yong Shook Lin dan H.S. Lee. Memelihara kepentingan kaum Cina serta bekerjasama menentang komunis di Tanah Melayu.

Parti Politik Tahun 1950-an

  • Independence of Malayan Party (IMP), September 1951: Dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock. Menyatukan rakyat pelbagai kaum dan menjadikan kerjasama kaum sebagai dasar penting untuk mencapai kemerdekaan.
  • Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), November 1951: Dipimpin oleh Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr. Burhanuddin al-Helmi. Memperjuangkan kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menyatukan pentadbiran Islam di negeri Melayu.
  • People’s Progressive Party (PPP), Januari 1953: Dipimpin oleh Dr. S. Kanapathippilai dan Dr. Seenivasagam. Memperjuangkan hak sama rata dan keadilan sosioekonomi untuk semua kaum berasaskan demokrasi berparlimen.
  • Parti Negara, Februari 1954: Dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Hamzah Abdullah, Heah Joo Seang, E.E.C. Thuraisingham dan P. Ramani. Menuntut kemerdekaan melalui kerjasama semua kaum dan membentuk satu parti bagi semua rakyat untuk membina negara Tanah Melayu.

Kerjasama Politik ke Arah Kemerdekaan

Pakatan PUTERA-AMCJA

  • Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi, manakala All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) diketuai oleh Tan Cheng Lock.
  • PUTERA dan AMCJA bergabung pada Disember 1947.
  • Pakatan ini merintis kerjasama politik antara kaum dan melahirkan Manifesto Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif pembinaan negara bangsa merdeka.
  • Manifesto mencadangkan pemerintahan sendiri, pembentukan Dewan Perundangan dan penerimaan satu kewarganegaraan.

Persidangan Kebangsaan

  • Berlangsung pada Februari 1954 di bawah pimpinan Dato’ Panglima Bukit Gantang, iaitu Dato’ Abdul Wahab Abdul Aziz, Menteri Besar Perak.
  • Disertai oleh IMP, MIC, Persatuan Ceylonese Malaya dan Persatuan Eurasian Malaya.
  • Membincangkan pembentukan gabungan parti politik kebangsaan Tanah Melayu yang bersatu dan menuntut pilihan raya Persekutuan diadakan.

Konvensyen Kebangsaan

  • Dianjurkan pada Ogos 1954 oleh UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman dan MCA pimpinan Tan Cheng Lock.
  • Dihadiri oleh PAS, Persetiaan Melayu Kelantan dan Persatuan Melayu Semenanjung.
  • Membincangkan kemerdekaan dan masa depan Tanah Melayu serta meluluskan resolusi mendesak British mengadakan pilihan raya Persekutuan.

Pembentukan Parti Perikatan

  • Pada Oktober 1954, MIC menyertai UMNO dan MCA membentuk Parti Perikatan.
  • Penyertaan MIC melengkapkan kerjasama tiga kaum terbesar di Tanah Melayu.
  • Kapal layar dipilih sebagai logo, melambangkan kesediaan menempuh cabaran dan rintangan untuk mencapai kemerdekaan negara.

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!