Usaha Ke Arah Kemerdekaan
7.1 - Latar Belakang Idea Negara Merdeka
Perkembangan Idea Negara Merdeka
- 1938 — Kesatuan Melayu Muda (KMM): Dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakob. Memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui konsep Melayu Raya, iaitu penyatuan bangsa dan dunia Melayu berdasarkan persamaan daerah, darah, kebudayaan dan bahasa. Selepas KMM diharamkan, idea ini diteruskan oleh Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
- 1945 — Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM): Dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Menanam semangat kebangsaan, bekerjasama dengan kaum lain untuk membentuk perpaduan dan memperjuangkan kemerdekaan melalui konsep Melayu Raya. Slogan “Merdeka” digunakan untuk mendaulatkan hak rakyat dalam politik, ekonomi, agama, sosial dan kebudayaan.
- 1946 — Angkatan Pemuda Insaf (API): Dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Memperjuangkan negara merdeka melalui pemerintahan demokrasi dan dasar ekonomi yang mengutamakan rakyat serta keadilan sosial. Risalah Testament Politik API diterbitkan pada Disember 1946 dengan slogan “Merdeka dengan Darah”. Perjuangan dilaksanakan secara lembut melalui jalan terbuka, tetapi kekerasan akan digunakan jika terpaksa. Pendekatan radikal menyebabkan API diharamkan oleh British.
- 1946 — Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS): Dipimpin oleh Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Mempelopori gerakan menentang penyerahan Sarawak kepada British, mahu Sarawak menjadi negeri merdeka di bawah pemerintahan Raja Brooke dan menuntut hak berkerajaan sendiri seperti yang dijanjikan dalam Perlembagaan 1941.
- 1946 — Pergerakan Pemuda Melayu (PPM): Lahir di Sibu akibat kontroversi penyerahan Sarawak kepada British. Anggotanya rela berkorban jiwa untuk mendapatkan kemerdekaan penuh Sarawak. Catatan “Merdeka” dalam surat-menyurat menegaskan matlamat memerdekakan Sarawak. Anggota PPM menubuhkan pakatan sulit Rukun 13 yang nekad membunuh gabenor, pegawai British dan Datu Melayu yang menyokong penyerahan Sarawak.
- 1946 — United Malays National Organisation (UMNO): Dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Menyatukan orang Melayu untuk mempertahankan hak bangsa Melayu dan kedudukan Raja-raja Melayu. Slogan “Hidup Melayu” digunakan ketika menentang Malayan Union untuk memelihara status quo orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Pada tahun 1951, slogan diubah kepada “Merdeka” melalui perundingan.
- 1946 — Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PKML): Dipimpin oleh Tengku Noordin dan Zakaria Gunn. Menjalankan dasar tidak bekerjasama dengan penjajah dan menuntut Sabah dimerdekakan. Laungan “Hidup Melayu-Merdeka” dalam surat Zakaria Gunn kepada ahli PKML menekankan kesedaran kebangsaan untuk merdeka.
- 1946 — Malayan Indian Congress (MIC): Diasaskan oleh John Thivy. Bekerjasama dengan kaum lain untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. MIC menegaskan kewarganegaraan tunggal kepada mereka yang menerima Tanah Melayu sebagai tanah air dan bersedia melafazkan taat setia.
- 1947 — Hizbul Muslimin: Perhimpunan rakyat di Maahad al-Ehya Assharif, Gunung Semanggol, Perak, melahirkan Majlis Agama Islam Tertinggi (MATA), yang diterajui oleh Abu Bakar al-Baqir, Sheikh Fadhlulah Suhaimi dan Sheikh Abdullah Fahim. Perhimpunan MATA melahirkan Hizbul Muslimin untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu sebagai negara Islam. British mengharamkan pertubuhan ini.
- 1949 — Malayan Chinese Association (MCA): Dipimpin oleh Tan Cheng Lock. Berusaha menjadikan Tanah Melayu yang berbilang kaum sebuah negara yang berdemokrasi penuh dengan menyatukan masyarakat Cina dan bekerjasama secara harmoni dengan semua kaum untuk kemerdekaan Tanah Melayu.
- 1951 — Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS): Dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi. Meneruskan idea negara Islam dengan cita-cita membina satu negara dan satu bangsa yang teguh serta menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan rasmi yang tunggal. Kemerdekaan bermaksud Tanah Melayu merdeka dengan menjalankan hukum Islam.
- 1951 — Independence of Malayan Party (IMP): Diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar untuk melaksanakan idea “Tanah Melayu untuk Malayan”. Menuntut kemerdekaan melalui perpaduan kebangsaan dan kerjasama kaum yang diterima menjadi rakyat Tanah Melayu. Orang Melayu menjadi pemimpin kepada orang bukan Melayu yang turut mempunyai hak politik dan ekonomi.
Answer practice questions to test your knowledge
Practice