WeAcademia

Biologi Sel dan Organisasi Sel

2.2 - Proses Hidup Organisma Unisel

Organisma unisel terdiri daripada satu sel sahaja. Sel ini merupakan unit hidupan yang lengkap dan menjalankan semua proses hidup seperti pergerakan, gerak balas terhadap rangsangan, nutrisi, respirasi, pertumbuhan, perkumuhan dan pembiakan.

Proses Hidup Amoeba sp. dan Paramecium sp.

Rajah berlabel Amoeba sp. dan komponen selnya
Amoeba sp.
Rajah berlabel Paramecium sp. dan komponen selnya
Paramecium sp.

Pergerakan

  • Amoeba sp. mengunjurkan pseudopodium, diikuti dengan pengaliran sitoplasma ke bahagian pseudopodium yang diunjurkan.
  • Paramecium sp. bergerak melalui pukulan silia yang beritma.

Gerak Balas terhadap Rangsangan

  • Kedua-duanya bergerak balas terhadap bahan kimia, sentuhan dan cahaya terang dengan bergerak menjauhi rangsangan tersebut.

Respirasi

  • Pertukaran oksigen dan karbon dioksida berlaku melalui membran plasma secara resapan ringkas di seluruh permukaan sel.

Nutrisi

  • Amoeba sp. mengunjurkan pseudopodium untuk mengepung zarah makanan dan menjalankan fagositosis. Zarah makanan dikurung di dalam vakuol makanan dan dihidrolisis oleh enzim. Nutrien diserap ke dalam sitoplasma, manakala makanan yang tidak tercerna disingkirkan apabila Amoeba sp. bergerak.
  • Paramecium sp. menggunakan pukulan silia yang beritma untuk menolak zarah makanan ke dalam alur mulut. Vakuol makanan terbentuk, makanan dihidrolisis oleh enzim dan nutrien diserap. Makanan yang tidak tercerna disingkirkan melalui liang dubur.

Pertumbuhan

  • Kedua-duanya membesar dengan mensintesis sitoplasma baharu.

Perkumuhan dan Pengosmokawalaturan

  • Bahan buangan seperti karbon dioksida dan ammonia disingkirkan secara resapan.
  • Di dalam air tawar, air meresap masuk ke dalam sel secara osmosis dan memenuhi vakuol mengecut.
  • Apabila vakuol mengecut mencapai saiz maksimum, vakuol itu mengecut untuk menyingkirkan air berlebihan. Proses ini disebut pengosmokawalaturan.

Pembiakan

  • Apabila keadaan sesuai dan makanan mencukupi, Amoeba sp. dan Paramecium sp. membiak secara aseks melalui belahan dedua.
  • Dalam keadaan yang tidak sesuai, Amoeba sp. membentuk spora yang bercambah apabila keadaan kembali sesuai.
  • Dalam keadaan yang tidak sesuai, Paramecium sp. menjalankan konjugasi, iaitu pertukaran bahan genetik antara dua individu.

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!