WeAcademia

Biologi Sel dan Organisasi Sel

2.1 - Struktur dan Fungsi Sel

Sel ialah unit asas semua benda hidup.

Penyediaan dan Pemerhatian Slaid Sel

Sel Tumbuhan

  1. Tanggalkan epidermis lut sinar daripada bahagian dalam daun sisik bawang besar.
  2. Letakkan epidermis di dalam setitis air suling di atas slaid kaca.
  3. Turunkan kaca penutup pada sudut 45° dengan jarum tenggek. Pastikan epidermis tidak terlipat dan tiada gelembung udara terperangkap.
  4. Gunakan teknik pengairan untuk mewarnakan spesimen: titiskan larutan iodin pada satu sisi kaca penutup dan gunakan kertas turas pada sisi yang bertentangan untuk menarik larutan merentasi spesimen.
  5. Serap lebihan larutan iodin dan air suling dengan kertas turas.
  6. Perhatikan slaid dengan kanta objektif berkuasa rendah, kemudian dengan kanta objektif berkuasa tinggi.

Sel Haiwan

  1. Kikis bahagian dalam pipi secara perlahan-lahan dengan pencungkil gigi yang tumpul.
  2. Pindahkan hasil kikisan ke dalam setitis air suling di atas slaid kaca yang bersih dan tutup dengan kaca penutup.
  3. Warnakan sel pipi dengan larutan metilena biru menggunakan teknik pengairan.
  4. Perhatikan sel melalui mikroskop cahaya.

Komponen Sel Haiwan dan Sel Tumbuhan serta Fungsinya

Rajah berlabel sel haiwan dan komponen selnya
Sel haiwan
Rajah berlabel sel tumbuhan dan komponen selnya
Sel tumbuhan

Membran Plasma

  • Ciri-ciri:
    • Membran luar yang menyelaputi keseluruhan kandungan sel.
    • Dibina daripada protein dan fosfolipid.
    • Nipis, kenyal dan bersifat telap memilih.
  • Fungsi:
    • Mengasingkan kandungan sel daripada persekitaran luar.
    • Mengawal pergerakan bahan ke dalam dan keluar sel.
    • Membenarkan pertukaran nutrien, gas respirasi dan bahan buangan antara sel dengan persekitarannya.

Dinding Sel

  • Ciri-ciri:
    • Lapisan luar yang kuat dan tegar serta dibina daripada gentian selulosa.
    • Bersifat telap sepenuhnya.
  • Fungsi:
    • Mengekalkan bentuk sel tumbuhan.
    • Memberikan sokongan mekanikal kepada sel tumbuhan.

Sitoplasma

  • Ciri-ciri:
    • Bahan seperti jeli yang mengandungi komponen sel.
    • Mengandungi sebatian organik seperti protein, lipid dan karbohidrat serta sebatian tak organik seperti ion kalium.
  • Fungsi:
    • Bertindak sebagai medium tindak balas biokimia dalam sel.

Nukleus

  • Ciri-ciri:
    • Komponen terbesar dalam sel.
    • Berbentuk sfera atau leper dan diselaputi membran nukleus yang mempunyai banyak liang.
    • Mengandungi kromosom, nukleolus dan nukleoplasma.
  • Fungsi:
    • Mengawal semua aktiviti sel.
    • Kromosom mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) yang menentukan ciri sel dan fungsi metabolisme.

Mitokondrion (Jamak: Mitokondria)

  • Ciri-ciri:
    • Berbentuk rod atau sfera.
    • Mempunyai membran luar yang licin dan membran dalam yang berlipat-lipat.
    • Mengandungi enzim yang terlibat dalam respirasi sel.
  • Fungsi:
    • Menjana tenaga melalui pengoksidaan glukosa semasa respirasi sel.
    • Membebaskan tenaga dalam bentuk molekul adenosina trifosfat (ATP) untuk digunakan oleh sel.

Ribosom

  • Ciri-ciri:
    • Granul kecil, padat dan berbentuk sfera yang terdiri daripada protein dan asid ribonukleik (RNA).
    • Wujud bebas di dalam sitoplasma atau pada permukaan jalinan endoplasma kasar.
  • Fungsi: Tapak sintesis protein.

Jalinan Endoplasma

  • Ciri-ciri:
    • Sistem kantung pipih berlipat yang saling berhubung.
    • Membrannya bersambung dengan membran nukleus.
    • Jalinan endoplasma kasar mempunyai ribosom pada permukaannya; jalinan endoplasma licin tidak mempunyai ribosom.
  • Fungsi:
    • Bertindak sebagai sistem pengangkutan dalam sel.
    • Menyediakan permukaan yang luas untuk perlekatan enzim dan tindak balas biokimia.
    • Jalinan endoplasma kasar mengangkut protein yang disintesis oleh ribosom.
    • Jalinan endoplasma licin mensintesis dan mengangkut gliserol dan lipid serta menjalankan detoksifikasi dadah dan hasil sampingan metabolisme.

Jasad Golgi

  • Ciri-ciri:
    • Timbunan kantung pipih selari yang setiap satunya diselaputi membran tunggal.
    • Membran baharu ditambah pada satu hujung, manakala vesikel menggenting keluar dari hujung yang satu lagi.
  • Fungsi: Memproses, mengubah suai, membungkus dan mengangkut bahan kimia seperti protein, karbohidrat dan glikoprotein.

Lisosom

  • Ciri-ciri:
    • Kantung kecil berbentuk sfera yang diselaputi membran tunggal.
    • Mengandungi enzim hidrolisis.
  • Fungsi:
    • Menghidrolisis molekul organik kompleks seperti protein, asid nukleik dan lipid.
    • Menguraikan bakteria dan komponen sel yang rosak.

Sentriol

  • Ciri-ciri:
    • Komponen kecil berbentuk silinder yang wujud secara berpasangan dalam sel haiwan.
    • Terdiri daripada susunan mikrotubul yang kompleks.
    • Tidak wujud dalam sel tumbuhan.
  • Fungsi: Membentuk gentian gelendong semasa pembahagian sel dalam sel haiwan.

Kloroplas

  • Ciri-ciri:
    • Berbentuk bujur dan terdiri daripada dua lapisan membran.
    • Mengandungi pigmen klorofil di dalam grana yang memberikan warna hijau kepada tumbuhan.
  • Fungsi: Klorofil menyerap cahaya matahari dan menukarkannya kepada tenaga kimia semasa fotosintesis.

Vakuol

  • Ciri-ciri:
    • Kantung berisi sap sel.
    • Dikelilingi membran separa telap yang disebut tonoplas.
    • Sap sel mengandungi air, asid organik, gula, asid amino, enzim, garam mineral, oksigen, karbon dioksida dan hasil sampingan metabolisme.
    • Sel tumbuhan mempunyai vakuol bersaiz besar; sel haiwan mempunyai vakuol bersaiz kecil.
  • Fungsi:
    • Air diserap masuk ke dalam vakuol sel tumbuhan dan sel menjadi segah.
    • Dalam organisma unisel, vakuol mengecut terlibat dalam pengosmokawalaturan dan perkumuhan.

Perbandingan antara Sel Haiwan dengan Sel Tumbuhan

Persamaan

  • Kedua-duanya mempunyai nukleus, sitoplasma, membran plasma, jasad Golgi, mitokondria, ribosom dan jalinan endoplasma.

Perbezaan

Sel HaiwanSel Tumbuhan
Tidak mempunyai bentuk tetap.Mempunyai bentuk tetap.
Tidak mempunyai dinding sel.Mempunyai dinding sel.
Tidak mempunyai kloroplas.Mempunyai kloroplas.
Tidak mempunyai vakuol atau mempunyai vakuol bersaiz kecil.Mempunyai vakuol bersaiz besar.
Menyimpan karbohidrat dalam bentuk glikogen.Menyimpan karbohidrat dalam bentuk kanji.
Mempunyai sentriol.Tidak mempunyai sentriol.

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!