WeAcademia

Langkah Keselamatan di dalam Makmal

1.3 - Pemadam Kebakaran

Alat pemadam kebakaran ialah alat yang digunakan untuk mengawal atau memadamkan kebakaran. Alat pemadam kebakaran dikelaskan berdasarkan medium pemadam kebakaran.

Jenis Alat Pemadam Kebakaran yang Biasa Digunakan

Jenis dan warna labelKegunaan
Air — merahBahan pepejal seperti kain, kertas dan kayu
Buih — krimBahan pepejal seperti kayu dan kertas; cecair atau gas mudah terbakar seperti minyak, cat dan gas asli
Karbon dioksida — hitamPeralatan elektrik, gas dan wap
Serbuk kering — biruSemua jenis kebakaran

Kelas Kebakaran dan Alat Pemadam Kebakaran yang Sesuai

Kelas dan bahan apiAlat pemadam yang sesuai
A — bahan api mudah terbakar jenis pepejal kecuali logam, seperti kayu, kertas dan kainAir, buih, serbuk kering
B — cecair seperti petrol, kerosin, diesel, cat dan varnisBuih, serbuk kering, karbon dioksida
C — gas seperti LPG, LNG dan oksigenSerbuk kering, karbon dioksida
D — logam seperti magnesium, aluminium, natrium dan kaliumSerbuk kering
E — peralatan elektrikSerbuk kering, karbon dioksida
F — lemak dan minyak masakSerbuk kering, karbon dioksida

Peralatan Pemadam Kebakaran Lain

Pemadam api ABC

  • Boleh digunakan untuk semua jenis kebakaran kecuali kebakaran disebabkan logam dan gas yang tidak memungkinkan ledakan.
  • Tidak berbahaya kepada manusia dan haiwan.
  • Tidak mencemarkan tanah.
  • Mudah diselenggara—sekurang-kurangnya sekali setahun.
  • Menghasilkan kelembapan yang lebih lama lalu menghalang api daripada merebak semula.

Selimut kebakaran

  • Diperbuat daripada dua lapisan gentian kaca.
  • Memadamkan api kecil atau sederhana yang susah dipadamkan oleh air.
  • Memadamkan api pada badan mangsa apabila badan mangsa diselimutkan.

Pasir dan air

  • Pasir boleh memadamkan kebakaran pada peringkat awal.
  • Air boleh memadamkan kebakaran kecuali kebakaran yang berpunca daripada minyak.

Kaedah Penggunaan Alat Pemadam Kebakaran

  1. Tanggalkan pin keselamatan dan tegakkan alat pemadam kebakaran.
  2. Halakan muncung ke pangkal api dari jarak kira-kira 2.0–2.5 meter.
  3. Tekan pemicit di bahagian atas alat pemadam kebakaran.
  4. Ratakan semburan ke seluruh sumber api sambil menggerakkan muncung dari sisi ke sisi.

Senarai Semak Ringkas Keselamatan Kebakaran

  • Pasang alat pengesan asap.
  • Sediakan pelan kecemasan dan laluan kecemasan dari setiap bilik; pastikan semua penghuni mengetahuinya dan telah berlatih menggunakannya.
  • Gunakan mentol dengan watt yang sesuai.
  • Letakkan perkakasan elektrik yang menghasilkan haba sekurang-kurangnya 1 meter dari tirai, perabot dan peralatan mudah terbakar.
  • Jangan cas peralatan elektronik di atas katil atau tanpa pengawasan.
  • Periksa pendawaian elektrik dari semasa ke semasa untuk mengenal pasti kerosakan yang boleh menyebabkan kebakaran akibat litar pintas.
  • Jangan buat penyambungan tanpa kebenaran atau membebankan litar elektrik.
  • Letakkan mancis dan pemetik api di luar jangkauan kanak-kanak.
  • Simpan bekas cecair mudah terbakar di tempat yang selamat, jauh daripada punca api dan kanak-kanak.
  • Sediakan satu alat pemadam kebakaran jenis serbuk kering atau ABC di rumah.

Audit Alat Pemadam Kebakaran di Sekolah

Catat dan periksa:

  • jenis alat pemadam kebakaran;
  • tarikh luput setiap alat pemadam kebakaran;
  • bacaan tekanan pada setiap alat pemadam kebakaran;
  • bilangan alat pemadam kebakaran mengikut jenis; dan
  • lokasi setiap alat pemadam kebakaran dalam pelan laluan kecemasan sekolah.

Mencipta Alat Pemadam Kebakaran Ringkas

Pernyataan masalah: Dapur mempunyai bahan mudah terbakar seperti tepung, gula dan minyak. Kewujudan bahan api boleh menyebabkan kebakaran di rumah.

Ringkasan reka bentuk: Cipta alat pemadam kebakaran ringkas yang berfungsi menggunakan bahan yang boleh didapati di rumah.

Proses STEM

  1. Kemukakan soalan dan kenal pasti masalah.
  2. Bangunkan dan gunakan model.
  3. Rancang dan jalankan penyiasatan berbentuk inkuiri.
  4. Analisis dan interpretasi data yang diperoleh.
  5. Gunakan pemikiran matematik dan pemikiran komputasional.
  6. Bina penjelasan dan reka bentuk penyelesaian.
  7. Libatkan diri dalam perbahasan dan perbincangan berdasarkan eviden.
  8. Dapatkan, nilai dan komunikasikan maklumat.

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!