WeAcademia

Keimunan Manusia

11.1 - Pertahanan Badan

Pengenalan kepada Keimunan Manusia

Definisi Penting

  • Patogen: Mikroorganisma yang menyebabkan penyakit. Contohnya termasuklah bakteria, virus dan parasit.
  • Antigen: Bendasing yang memasuki badan dan seterusnya merangsang gerak balas keimunan.
  • Antibodi: Protein yang terdapat pada permukaan limfosit atau protein yang dibebaskan oleh limfosit ke dalam plasma darah.
  • Gerak balas keimunan: Interaksi antara antibodi dengan antigen yang menyebabkan antigen dimusnahkan.
  • Keimunan: Keupayaan badan untuk melawan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh patogen atau sebarang bendasing melalui serangan spesifik terhadap patogen tersebut.

Tiga Barisan Pertahanan Manusia

  • Barisan pertama: Pertahanan fizikal dan kimia tidak spesifik yang menghalang kemasukan patogen.
  • Barisan kedua: Demam, fagositosis dan keradangan yang tidak spesifik.
  • Barisan ketiga: Gerak balas keimunan spesifik oleh sel limfosit melalui antibodi dan sel memori.

Barisan Pertahanan Pertama

  • Kulit:
    • Liat dan sukar ditembusi oleh mikroorganisma.
    • Penanggalan lapisan sel mati secara berterusan menyukarkan pertumbuhan mikroorganisma.
    • Sebum mengandungi minyak dan asid yang menghalang pertumbuhan mikroorganisma.
    • Peluh mengandungi enzim lisozim yang memecahkan dinding sel sesetengah bakteria.
  • Enzim lisozim: Protein antimikrob dalam air mata, hingus dan air liur yang mengurai serta membunuh sesetengah jenis bakteria.
  • Membran mukus: Melapik salur respirasi dan merembes mukus yang mengandungi lisozim untuk memusnahkan bakteria dalam udara yang memasuki sistem respirasi.
  • Mekanisme pembekuan darah: Menghalang kemasukan bakteria melalui luka.
  • Asid hidroklorik: Membunuh bakteria dalam makanan dan minuman di dalam perut.

Barisan Pertahanan Kedua

  • Demam: Menambahkan aktiviti fagosit dan melawan mikroorganisma yang menjangkiti badan.
  • Sel fagosit: Sel leukosit yang menjalankan fagositosis; neutrofil dan monosit ialah sel fagosit.
  • Fagositosis: Proses pemerangkapan dan pencernaan mikroorganisma atau zarah lain seperti sel mati oleh sel fagosit.
Rajah menunjukkan peringkat fagositosis oleh sel fagosit
Peringkat-peringkat fagositosis
  • Peringkat-peringkat fagositosis:
    1. Sel fagosit mengunjurkan pseudopodium ke arah bakteria dan mengepungnya.
    2. Pengingesan bakteria membentuk fagosom.
    3. Fagosom bergabung dengan lisosom yang merembes lisozim ke dalam fagosom.
    4. Lisozim memusnahkan bakteria di dalam fagosom.
    5. Sel fagosit menyingkirkan sisa mikroorganisma yang tercerna ke luar sel.
  • Keradangan: Gerak balas segera yang memusnahkan dan meneutralkan tindakan berbahaya mikroorganisma dan toksin pada peringkat awal jangkitan. Bahagian yang radang membengkak, menjadi merah dan berasa sakit.
  • Gerak balas keradangan:
    1. Tisu rosak membebaskan histamin yang merangsang gerak balas keradangan serta-merta.
    2. Histamin mengembangkan kapilari darah, meningkatkan aliran darah dan meningkatkan ketelapan kapilari terhadap sel fagosit; sel fagosit dan faktor pembeku berkumpul di kawasan jangkitan.
    3. Mekanisme pembekuan darah dicetuskan.
    4. Sel fagosit menjalankan fagositosis.

Barisan Pertahanan Ketiga

  • Diaktifkan apabila patogen mengatasi barisan pertahanan kedua.
  • Sel limfosit yang terbentuk di dalam nodus limfa menghasilkan antibodi.
  • Tindakan antibodi adalah spesifik: setiap antibodi hanya bergabung dengan satu jenis antigen.
  • Sel limfosit terkumpul di dalam nodus limfa untuk memusnahkan antigen dan bendasing, menyebabkan nodus limfa membengkak.
  • Makrofaj dalam nodus limfa memusnahkan bakteria, tisu mati dan bendasing secara fagositosis.
  • Limfosit terbahagi kepada sel limfosit T dan sel limfosit B.
  • Sel limfosit T menyerang sel yang dijangkiti patogen dan merangsang sel limfosit B untuk menghasilkan sel memori.
  • Jika patogen yang sama menyerang semula, sel memori dirangsang untuk menghasilkan antibodi dengan serta-merta.

Answer practice questions to test your knowledge

Practice

Join our community on Whatsapp!